Berlapang Dada Dan Berprasangka Baik

Berlapang dada telah menjadi amalan di kalangan para ulama Salaf ketika berhadapan dengan khilaf sesama mereka. Walaupun terdapat banyak percanggahan pandangan, namun mereka tetap saling hormat-menghormati di antara satu sama lain dan tidak menyebabkan ikatan perpaduan terlerai. Mereka mempunyai nilai akhlak dan adab yang tinggi selaras dengan tuntutan mendalami ilmu Tasawuf.
 
Dapatlah kita ambil suatu contoh bawa betapa indahnya akhlak dan adab para ulama yang benar-benar kompeten didalam bidang agama ketika menghadapi perbahasan khilaf dengan muhasabah diri dan tidak menjadikan apa yang mereka miliki adalah yang paling benar. Pada masa kini terdapat sesetengah golongan yang gagal mengamalkan konsep berlapang dada lantas berasa sangat taajub dengan pandangan dan pendapat sendiri. Mereka mungkin berpegang dan beranggapan bawa pandangan mereka saja yang senantiasa betul dan benar yang tidak mungkin salah dan pandangan orang lain sentiasa salah yang tidak mungkin ada benarnya. Bahkan mereka terlalu melampau dengan melemparkan berbagai perkataan seperti bidaah, khurafat, sesat, kafir dan sebaginya lagi walaupun di dalam isu-isu khilafiyyah.

Berprasangka Baik

Di antara akhlak asas yang penting di dalam pergaulan dan hubungan sesama umat Islam ialah berprasangka baik kepada orang lain disertakan dengan tidak boleh didasari prinsip suka memuji diri sendiri dan menyalahkan orang lain. Islam melarang kita memuji-muji diri sendiri dikuatiri mendatangkan perasaan riyak dan takabbur dengan pandangan dan pendapat sendiri.

Firman Allah Taala bermaksud:

Dia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia menciptakan kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian di dalam perut ibu kamu maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dialah saja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

(Surah an-Najm: Ayat 32).

Prasangka buruk merupakan perangai jahat yang dikecam oleh al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. dan merupakan tegahan kepada umat Islam. Pada dasarnya kita haruslah menempatkan seseorang Islam itu sebagai orang yang soleh lagi baik dan tidak berprasangka buruk kepadanya kecuali dengan kebaikkan sahaja. Walaupun nampak sedikit kelemahannya, demi untuk memenangkan kebaikkan di atas keburukan, maka selalulah beranggapan baik sesama Islam. Sikap dan akhlak ini lebih-lebih dituntut jika berhadapan dengan khilaf dan kesalahan ijtihad para ulama.

Firman Allah Taala bermaksud:

Wahai orang-orang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.
(Surah al-Hujuraat: Ayat 12).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Jauhilah prasangka (buruk) kerana sesugguhnya prasangka (buruk) itu merupakan percakapan yang paling dusta. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Di dalam perbahasan dan perbincangan perkara-perkara khilaf, anggaplah pendapat orang lain juga turut melalui analisis dan kajian yang mendalam dan mempunyai dalil-dalil yang boleh disabitkan walaupun kita tidak pernah menjumpainya. Berbaik sangka dengan menganggap kefahaman mereka berdasarkan disiplin ilmu dan kaedah-kaedah yang betul dan mempunyai niat ikhlas sepertimana kita juga. Jangan sesekali  menghina pendapat ulama lain dengan sengaja menimbulkan pertikaan dan perbalahan yang tidak ada kesudahannya.

Tepislah bisikan syaitan yang menyuruh kita berburuk sangka sesama umat Islam. Peringatan ini juga perlu diberikan perhatian yang lebih serius apabila berinteraksi dengan pandangan dan pendapat ulama muktabar yang lebih khusus dan tinggi kedudukannya berbanding dengan golongan awam yang bersifat umum. Peranan ulama hanyalah sebagai pewaris Rasulullah S.A.W. dan mereka benar-benar amanah di dalam mewariskan segala keilmuan mereka.

Wallahu A'lam

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2010-2011 catatan-ku All Rights Reserved.
Template Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.