Bagaimanakah Iman Yang Sempurna?

Keimanan yang sempurna mestilah membenarkan (meyakini) dengan hati, mengakui dengan lidah dan beramal dengan perbuatan. Inilah ciri-ciri serta syarat-syarat untuk mendapat kesempurnaan iman itu. Namun kesempurnaan iman tidaklah hanya terletak pada Rukun Iman saja bahkan ia lebih luas untuk diperbincangkan di sini. 

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dia kasih untuk dirinya sendiri. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pada al-Hadis S.A.W. di atas menerangkan kepada kita bahawa iman tidak bertunjang di dalam diri sendiri semata-mata serta tidak teguh di dalam hati dan tidak sempurna di dalam dada seseorang Islam kecuali apabila dia menjadi manusia yang baik, jauh daripada sifat keakuan, iri hati, membenci dan hasad dengki. Dengan itu dia akan mengasihi dan membantu orang lain dengan apa yang dia suka untuk dirinya sendiri seperti selamat daripada kejahatan dan seksaan, seronok dengan kesenangan hidup, berjaya mendapat keredhaan Allah Taala serta mendekatkan diri kepadaNya. Seorang sahabat Nabi S.A.W. bernama Muaz R.A. telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W. tentang iman yang paling afdhal (baik) maka baginda S.A.W. menjawab:

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Engkau mengasihi untuk manusia sesuatu yang engkau suka untuk dirimu sendiri dan engkau membenci untuk mereka sesuatu yang engkau benci untuk dirimu sendiri.
(Riwayat Ahmad).

Ibadat yang dikehendaki di dalam Islam bukanlah gambaran dan bentuknya yang boleh dilihat dengan pandangan semata-mata akan tetapi yang dikehendaki oleh Islam dengan ibadat ialah tujuan serta makna dan pelaksanaan sesuatu ibadat itu. Oleh itu, tiada manfaat solat yang tidak dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar sebagaimana tiada faedah juga puasa yang pelakunya tidak dapat meninggalkan kebatilan. Walau bagaimanapun tidaklah berarti kita boleh meninggalkan ibadat jika tidak mencapai hasilnya akan tetapi yang dikehendaki di sini ialah sentiasa berusaha membawa diri supaya ikhlas dan cuba mencapai segala tujuannya. Kesimpulannya: Kita memahami bahawa Islam itu adalah terdiri daripada aqidah dan amalan. Maka tiada manfaat serta faedah tanpa iman sebagaimana tidak wujud iman tanpa amalan.

wallahu a'lam

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2010-2011 catatan-ku All Rights Reserved.
Template Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.