Apa Itu Islam?

slam dari segi bahasa ialah tunduk dan menyerah kepada Allah Taala. Dari segi syarak pula ialah agama yang dibina di atas lima asas (Rukun Islam) iaitu:

01. (penyaksian) bahawa tiada tuhan melainkan Allah Taala dan bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W. itu utusan Allah Taala (Rasulullah S.A.W.).

02. Mendirikan solat fardhu lima kali sehari di dalam waktunya dengan rukun dan syarat yang sempurna.

03. Mengeluarkan zakat setelah cukup kadar dan waktunya.

04. Berpuasa di bulan Ramadhan.

05. Menunaikan haji sekali seumur hidup bagi sesiapa yang berkemampuan.


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Islam dibina di atas lima perkara: Penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan puasa bulan Ramadhan.

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Apa Itu Iman?

Iman dari segi bahasa ialah membenarkan. Dari segi syarak pula ialah membenarkan dengan keyakinan yang tidak terbelah bagi (Rukun Iman) kepada:

01. Allah Taala yang Maha Esa dan Maha Pencipta serta tiada sekutu bagiNya.

02. Malaikat yang merupakan hamba-hambaNya yang mulia dan sentiasa taat kepada suruhan Allah Taala.

03. Kitab yang diturunkan oleh Allah Taala sebagai syariat kepada manusia.

04. Rasul yang telah dipilih dan diutuskan olehNya kepada manusia untuk memberi petunjuk.

05. Hari Kiamat yang pasti berlaku untuk menghitung segala amalan manusia.

06. Qada dan Qadar yang berlaku samada baik atau buruk semuanya adalah ketentuan dariNya. Setiap perkara yang berlaku terdapat hikmah yang tersembunyi. Namun kita tetap dikehendaki untuk berusaha bagi memperolehi kebaikkan dan kejayaan.

Firman Allah Taala bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah Taala dan rasulNya dan kepada kitab al-Quran yang telah diturunkan kepada rasulNya (Nabi Muhammad S.A.W.) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya dan juga Hari akhirat maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.

(Surah an-Nisaa: Ayat 136).

Apakah Persamaan Dan Perbezaan Di Antara Islam Dan Iman?

Dari perbincangan di atas maka dapatlah kita ketahui bahawa Islam dan Iman adalah dua hakikat yang berbeza dari sudut bahasa dan syarak. Oleh itu, apabila disebut salah satu daripadanya itu maka ia juga memberi makna kepada yang satu lagi. Iman tidak dikira tanpa Islam sepertimana Islam juga tidak dikira tanpa iman kerana kedua-duanya saling memerlukan. Jadi mestilah beriman dengan hati serta beramal dengan anggota tubuh badan. Namun jika ia disebut kedua-duanya sekaligus dalam satu ayat yang sama maka masing-masing mempunyai makna yang berbeza untuk diperjelaskan.

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2010-2011 catatan-ku All Rights Reserved.
Template Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.